Monday, 6 October 2014

PERANAN ORIENTALIS DALAM BIDANG HADITH

    Walaupun kita mengetahui, terdapat orientalis berniat jahat untuk menjatuhkan Islam dengan menimbulkan keraguan dan kekeliruan pada umat Islam, namun kita tidak seharusnya melupai jasa dan peranan sebahagian orientalis terhadap perkembangan pengajian hadith.  Hal ini kerana, terdapat juga kalangan mereka yang menjalankan kajian dan penyelidikan dengan tulus. Mereka menghabiskan masa semata-mata untuk membuat kajian terhadap ilmu Islam yang terbukti bagi mereka mempunyai nilai kebenaran dan ketamadunan yang tinggi dan unggul. Ini terbukti melalui beberapa hasil kajian dan tulisan mereka yang telah memberikan manfaat dan sumbangan yang besar kepada perkembangan pengajian hadith khasnya dan perkembangan Islam amnya. Bukan sahaja para penuntut, malah para ulama pun turut mendapat manfaat daripada hasil kajian dan tulisan mereka.
   Antara orientalis yang telah memberikan sumbangan terhadap perkembangan pengajian Islam amnya dan pengajian hadith khasnya, ialah Professor T. W. Arnold melalui bukunya The Preaching of Islam, Stanlev Lane Poole melalui Saladin (Salahuddin al-Ayyubi) dan Moors in Spain, Dr Aloys Sprenger melalui mukadimahnya dalam kitab al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabat karangan al-Hafiz Ibn Hajar, Edward William Lane melalui kitabnya yang masyhur Arabic-English Lexicon, A. J. Wensick melalui Buku Indeks Hadith yang meliputi 14 buah kitab hadis yang masyhur di samping kitab Sirah dan Maghazi. Buku beliau ini kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab oleh Muhammad Fuad Abdul Baqi yang dinamakannya Miftah Kunuz al-Sunnah. Wensick juga jadi penyelia kepada sekumpulan orientalis yang menyusun sebuah kamus lengkap hadith yang mengandungi petunjuk kepada hadith yang terdapat dalam kitab-kitab hadith masyhur, iaitu kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan Al- Tirmidzi, Sunan Al-Nasa’i, Sunan Ibn Majah, Muwata’ Malik, Musnad Mufahras Li Alfaz Al-Hadith Al-Nabawi yang terdiri daripada tujuh jilid. Kitab mu’jam ini banyak membantu para penuntut dan ulama dalam usaha mendapatkan hadith daripada kitab-kitab tersebut dengan begitu mudah dan cepat. Begitu juga dengan orientalis G. B. Strenge yang telah menghasilkan buku Lands of The Eastern Caliphate yang membicarakan pemerintahan khalifah di sebelah timur.
    Walaupun buku-buku ini dihasilkan oleh orientalis, ternyata ia memberikan manfaat kepada umat Islam serta perkembangan pengajian Islam. Sehingga sekarang buku-buku ini masih menjadi rujukan umat Islam khususnya para sarjana dan intelektual Islam. Ia sekali gus menunjukkan bahawa terdapat segelintir orientalis yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam kajian dan tulisan mereka dan mereka tidak dipengaruhi oleh sifat taasub dan fanatik kepada agama dan ideology masing-masing.

RUJUKAN:
Ishak Haji Suliaman, Autoriti hadis : menangani gerakan antihadis. Penerbit Universiti Malaya: Kuala Lumpur, 2007. 140-141



No comments:

Post a Comment